fbpx
AARON (kanan) dan Wooi Yik gagal menepati ramalan apabila sekadar meraih perak beregu lelaki Sukan SEA 2025.

Sukan SEA: Bukan masa cari ‘kambing hitam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia tampil mempertahankan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky yang tidak seharusnya menanggung sendirian kegagalan mencapai sasaran empat pingat emas Sukan SEA 2025.

Aaron berpendapat, tanggungjawab di atas prestasi kurang memberangsangkan itu perlu dipikul bersama daripada barisan pemain sehinggalah kejurulatihan, bukannya menuding jari mencari kesilapan individu.

Menurutnya, keputusan Rexy sedia berundur mungkin didorong rasa kecewa terhadap prestasi pemain termasuk dia dan Soh Wooi Yik yang gagal menghadiahkan emas selepas tewas final kepada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama–Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Bekas juara dunia yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu turut menyeru agar semua pihak fokus kepada mencari jalan penyelesaian dan bukannya mencari kesalahan.

“Saya rasa dia (Rexy) mungkin agak kecewa dengan prestasi pemain. Setiap individu ada peranan dan tanggungjawab masing-masing, jadi, tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab kepada mana-mana pihak.

“Perkara utama adalah setiap individu perlu fokus untuk menyelesaikan masalah, bukan cari siapa yang perlu dipersalahkan. Pemain juga kena ambil tanggungjawab sendiri.

“Selesaikan masalah, bukan tolak tanggungjawab kepada sesiapa. Kalau Rexy letak jawatan pun, adakah keesokan harinya siapa yang kendalikan pasukan boleh pastikan kita menang semua emas? Tak ada kan?,” kata Aaron.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan Rexy bersedia memikul tanggungjawab penuh termasuk meletakkan jawatan selepas kem badminton negara sekadar menang satu emas, dua perak dan enam gangsa, jauh daripada sasaran empat emas Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Satu-satunya emas badminton negara diraih menerusi beregu wanita, Pearly Tan–M Thinaah, Manakala Aaron-Wooi Yik serta acara berpasukan lelaki menyumbang perak.

Enam gangsa diraih beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, dua perseorangan lelaki (Leong Jun Hao, Jason Hoh), Wong Ling Ching (perseorangan wanita), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki) serta berpasukan wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI