fbpx
Pertandingan Reka Cerita membuka idea dan pandangan serta meningkat keyakinan pelajar untuk berinteraksi serta berkomunikasi dengan lebih positif.

Suatukala gilap bakat berkarya, bercerita, berlakon pelajar sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Kekuatan Si Badang, Sang Kelembai, Pendekar Hang Tuah dan rakan-rakannya, kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang dan juga Mahsuri di Langkawi adalah antara kisah dongeng dan lagenda yang masih diingati jalan ceritanya.

Meskipun generasi muda lebih teruja mengikuti kisah adiwira moden dari negara barat tetapi kisah dan pengajaran hikayat lama ini masih lagi menjadi kebanggaan rakyat khususnya pelajar yang menjadikan ia sebagai satu inspirasi untuk mereka berkarya dalam apa juga acara.

Bertitik tolak daripada faktor tersebut dan tidak mahu kisah hikayat lama zaman dulu yang padat dengan pengajaran itu hilang ditelan zaman, Desaru Coast bersama Projek Suatukala Sdn Bhd (Suatukala) telah menganjurkan satu program yang memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk bercerita dalam satu pertandingan, Rekacerita yang diadakan di sini baru-baru ini.

Suatukala adalah badan bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada tahun 2014 di Langkawi, Kedah untuk menyediakan satu platform dan peluang kepada golongan muda untuk memantapkan keyakinan diri dan bercerita melalui persembahan seni, bengkel dan taklimat.

Platform ini ternyata berjaya menarik minat golongan muda menceburinya dan menggilap bakat seni yang ada pada diri mereka dan tahun ini Suatukala menganjurkan program Rekacerita yang melibatkan pelajar sekolah menengah dan rendah dari Daerah Kota Tinggi.

Selama hampir sebulan membuat persiapan untuk acara tersebut, bertempat di Amphitheatre Riverside, Desaru Coast, lebih daripada 100 pengunjung yang terdiri daripada ibubapa, penjaga, guru dan pelajar telah berkumpul untuk menyaksikan hasil para pelajar berkenaan di dalam Pertandingan Akhir Rekacerita 2025.

Ini adalah program yang menjadi platform terbaik kepada pelajar sekolah di sekitar Desaru Coast menunjukkan bakat masing-masing berlakon dalam watak yang berkaitan dengan hikayat lagenda yang disulami dengan elemen isu semasa serta pengajaran kepada masyarakat.

Pengasas Suatukala, Lina Tan berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini memberi peluang kepada pelajar untuk meluahkan kreativiti dan mengetengahkan bakat yang ada pada diri mereka yang mana mereka juga sendiri tidak tahu mereka ada bakat yang unik serta belum diberi peluang untuk cuba menonjolkannya kepada masyarakat.

Menurutnya, acara ini juga akan membolehkan mereka melepaskan bakat seni dan persembahan yang terbuku dalam diri mereka untuk bebas menulis cerita dan menggayakan persembahan mengikut cara sendiri.

“Kami memberi mereka peluang untuk mengolah cerita hikayat lama dan kisah dongeng itu agar tidak mengikuti sepenuhnya, jadi mereka perlu berfikir secara kritikal malah perlu mengkaji mengikut tahap pemikiran sekolah rendah atau sekolah menengah.

“Program berasaskan komuniti ini juga ternyata dapat meningkatkan keyakinan mereka, tidak kira ada yang berbakat berlakon atau tidak tetapi kami sebagai pelatih dalam program ini mahu melihat mereka lebih ke hadapan dan lebih kreatif.

“Sebab itu, saya agak teruja dan berbangga kerana mereka berjaya membawakan konsep penceritaan yang sangat baik,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah Lina yang juga Pengasas Red Communications, sebuah syarikat produksi yang menghasilkan siri TV popular seperti 3R, Impian Illyana dan Oh My English!, melihat penyertaan pelajar sekolah menengah dan rendah dalam Rekacerita juga meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan pergaulan dengan lebih positif.

Jelasnya, sebelum menyertai pertandingan akhir tersebut, para pelajar berkenaan akan mengikuti satu latihan dan bengkel intensif dan komprehensif daripada tenaga kerja yang berpengalaman termasuk penggiat teater dan pelakon yang membimbing mereka di sekolah agar objektif Suatukala tercapai.

Lina menjelaskan, ini adalah tahun kedua pertandingan ini dijalankan dan tahun ini, ia dilaksanakan dengan membawa satu pembaharuan yang memberi peluang kepada pelajar sekolah rendah.

“Meskipun pada peringkat awal, saya bimbang jika pelajar sekolah rendah ini tidak dapat mengikuti modul dan latihan yang diberikan tetapi agak membanggakan, mereka begitu berminat, berdisiplin dan bersemangat sekali.

“Ada pelajar yang bertanya kepada tenaga pengajar tentang masa depan mereka jika menyertai bidang lakonan atau teater atau mahu menjadi seorang pengarah bila besar nanti, saya lihat itu satu pembaharuan yang positif.

“Selalunya, pelajar dari sekolah di luar bandar kurang terdedah kepada program seperti ini dan saya lihat ia memberi satu pengalaman menarik buat mereka,” jelasnya.

Lina yang telah memenangi pelbagai anugerah itu berharap lebih banyak sekolah di daerah ini dapat menyertai program Rekacerita untuk masa depan.

Selain Suatukala, Desaru Coast dalam program CSR khususnya membantu pelajar di daerah berkenaan, telah menganjurkan inisiatif Berenang dan Keselamatan Air serta program Desaru Coast X Segaris yang melibatkan aktiviti menghasilkan karya seni daripada bahan buangan.

Sebanyak 20 buah sekolah dengan melibatkan 44 guru dan 216 pelajar telah menyertai program yang diadakan sepanjang tahun ini sekali gus memberi impak positif kepada komuniti.

Bagi Program Berenang dan Keselamatan air, para pelajar diberi pendedahan tentang ciri keselamatan dan risikonya ketika berada di sungai atau lautan kerana lokasi Desaru yang strategik dengan pantainya yang luas dan panjang.

Mereka berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada tenaga kerja berpengalaman dan terlatih untuk berenang dan menyelamat di Adventure Waterpark Desaru Coast selain mempelajari teknik CPR.

Kemahiran mereka dipertingkatkan lagi tentang cara dan kemahiran berenang yang betul dan juga membina keyakinan untuk berada dalam air.

Selain itu, program berkaitan menghasilkan seni daripada bahan buangan pula dilaksanakan dengan kerjasama Segaris Art Centre yang melibatkan pelukis Sukor Romat, Burhanuddin Bakri dan Nafas Syahdu.

Ini memberi peluang kepada pelajar untuk menggilap bakat masing-masing menggunakan bahan terbuang dan kitar semula untuk menghasilkan satu karya unik.

Dalam pada itu, seorang pelajar yang terlibat dalam program Rekacerita, Muhammad Adhar Mohd Azuan, 12, dari Sekolah Kebangsaan Sungai Kapal melihat pertandingan tersebut telah membina keyakinan dirinya untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat.

“Saya sebenarnya seorang yang pemalu, tetapi apabila cikgu memilih saya untuk menyertai pertandingan ini, ia banyak membantu saya membina keyakinan diri.

“Kami juga bebas untuk berbincang bersama rakan untuk memilih sebuah cerita hikayat lama dan mengolahnya menjadi sebuah cerita yang memberi pengajaran kepada masyarakat.

“Sebelum pertandingan saya dan pelajar lain menyertai bengkel yang memberi banyak pengalaman dan pengetahuan dalam bidang lakonan dan bercerita. Saya berharap dapat menyertai lagi pertandingan ini tahun depan,” jelas anak kelahiran Bandar Penawar itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI