fbpx
Dr. Zaliha

Saya akan terus sokong penuh agenda Madani – Dr. Zaliha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Sebagai anggota Kerajaan Madani, saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada agenda Madani serta dasar-dasar reformasi yang sedang dan akan dilaksanakan demi negara dan rakyat.”

Demikian tekad Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa selepas nama beliau antara yang digugurkan menerusi pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurutnya, setiap keputusan diambil oleh Perdana Menteri dibuat penuh pertimbangan, berlandaskan kepentingan negara serta keperluan untuk memastikan pentadbiran Kerajaan Madani terus stabil, berfungsi dan fokus kepada agenda reformasi yang digariskan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dalam Kerajaan Madani.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan serta agensi-agensinya atas komitmen dan kerjasama yang sangat baik sepanjang tempoh saya menerajui portfolio ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh hampir dua tahun memegang portfolio tersebut, pelbagai isu legasi yang berlarutan telah dapat ditangani secara berperingkat.

“Ini termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro.

“Melalui pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan, Kerajaan Madani di Wilayah Persekutuan juga berjaya menoktahkan miskin tegar, sekali gus membuktikan bahawa pendekatan bersasar, bersepadu dan berteraskan data mampu membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat.

“Di Wilayah Persekutuan Labuan, fokus pemerkasaan ekonomi tempatan terus digerakkan melalui inisiatif pelancongan dan kebolehhubungan, termasuk pengoperasian semula feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu serta pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan–Menumbok yang kini berada pada fasa pelaksanaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu.

“Semoga beliau dapat meneruskan agenda pembangunan Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

“Saya juga mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Kerajaan Madani yang baharu dilantik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN