PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri optimis sektor francais mampu menembusi pasaran serantau dan global serta menjana jualan RM100 bilion seperti yang disasarkan pada tahun 2030.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada penyertaan lebih 2,060 perniagaan francais berdaftar di seluruh negara ketika ini.
Malah kata beliau, sektor itu terus menunjukkan pertumbuhan yang meyakinkan walaupun berdepan cabaran kos dan persaingan global.
“Saya percaya, francais merupakan platform strategik untuk membawa jenama Malaysia menembusi pasaran serantau dan global, selari dengan sasaran RM100 bilion jualan menjelang 2030.
“Kerajaan akan terus menyokong industri francais sebagai antara pemangkin utama ekonomi dan masa depan keusahawanan negara,”katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, industri francais telah berkembang menjadi antara pemacu utama ekonomi moden Malaysia.
“Ia membuka peluang keusahawanan yang lebih tersusun, menyokong puluhan ribu pekerjaan dan membina mobiliti sosial rakyat melalui model perniagaan yang berdaya tahan dan berdisiplin,”ujarnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid semalam menghadiri Malaysia Franchise Awards Night 2025 sebagai menghargai sumbangan para usahawan francais, pemain industri serta institusi yang selama ini konsisten memperkukuh ekosistem francais negara.
Beliau berkata, kejayaan yang diraikan ini mencerminkan keyakinan terhadap jenama tempatan yang semakin matang dan bersedia bersaing di peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE














