KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan integriti merupakan asas utama keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dan tanpa prinsip itu, kerajaan tidak mungkin berjaya merekodkan nilai rampasan, lucut hak serta kutipan penalti berjumlah RM15.5 bilion.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pencapaian tersebut adalah kali pertama direkodkan dalam sejarah negara dan membuktikan usaha membanteras ketirisan, rasuah serta penyeludupan kini dilaksanakan secara lebih tegas dan menyeluruh.
“Ini kali pertama dalam sejarah negara. Ia memberi gambaran bahawa sebelum ini terdapat kelompongan dan kelonggaran.
“Mana mungkin dalam satu negara kita mampu mengutip RM15.5 bilion daripada ketirisan, rasuah dan penyeludupan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan nilai lucut hak melebihi RM8 bilion dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hampir RM4 bilion.
Katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) lebih RM2.5 bilion, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mencatat rampasan serta kutipan penalti berjumlah RM1 bilion.
Anwar berkata, pencapaian tersebut mencerminkan tahap penguatkuasaan yang semakin berkesan oleh agensi berkaitan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), walaupun kerajaan mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.
Beliau turut menegaskan adalah tidak adil untuk menilai secara menyeluruh agensi penguatkuasaan khususnya PDRM berdasarkan persepsi negatif, sedangkan pasukan itu telah menunjukkan keupayaan serta komitmen tinggi berasaskan integriti dalam memerangi jenayah dan penyeludupan. – KOSMO! ONLINE.














