SEBERANG PERAI – Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000 dua tahun lalu.
Tertuduh, Koperal Mohamad Irwan Ason, 40, dan Koperal Mohd. Effendy Mat Desa, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada Ismail Hashim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan cukai jalan tamat tempoh, memiliki air ketum serta rokok tidak bercukai.
Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di kawasan parkir berdekatan Maybank Taman Desa Damai, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah, pada 20 Julai 2023.
Perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama. – KOSMO! ONLINE














