fbpx
Peniaga dan pemilik premis penginapan di Jalan Chenang menunjukkan surat bantahan dan petisyen yang ditandatangani kira-kira 50 individu yang terjejas susulan penutupan sebahagian Jalan Chenang di Langkawi.

Peniaga Langkawi merungut khemah tutup premis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Kira-kira 50 peniaga dan pengendali premis penginapan di sini mendakwa perniagaan terjejas apabila jalan utama di hadapan premis mereka ditutup oleh khemah jualan.

Tinjauan di Jalan Pantai Chenang, di sini mendapati kira-kira 200 meter jalan tersebut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula pukul 3 petang hingga 12 tengah malam pada setiap Jumaat hingga Ahad sehingga Februari depan.

Seorang peniaga, Abu Bakar Ahmad, 47, berkata, walaupun khemah perniagaan tersebut hanya beroperasi pada tiga hari seminggu, namun khemah tersebut ditinggalkan di jalan utama yang menghalang perniagaan mereka di tepi jalan Pantai Chenang.

“Baru-baru ini ada ribut kuat yang menerbangkan khemah yang ditinggalkan tersebut sehingga menimpa kedai saya.

“Kami juga mula berniaga daripada pagi, tetapi khemah ini ada yang beroperasi seawal 12 tengahari dan apabila mereka tutup khemah, mereka juga halang kedai kami yang sebelum ini boleh dilihat terus daripada jalan ini,” katanya.

Sementara itu, pemilik Rasa Senang Villa, Hassanizan Hasan, 51, berkata, ada tetamunya yang bertegang urat dengan petugas Majlis Bandaraya Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) kerana tidak dibenarkan untuk melalui jalan tersebut bagi daftar masuk.

“Tetamu tersebut ada warga emas yang tidak boleh berjalan jauh dan bertongkat. Pada mulanya mereka tidak membenarkan tetamu saya untuk masuk walaupun sudah dimaklumkan ada warga emas,” ujarnya.

Pengurus Pejabat Depan (Front Office) Langkapuri Resort, Abu Bakar Kasa, 30, berkata, ada tetamu yang membatalkan tempahan setelah mengetahui akses masuk ke hotel ditutup apabila mereka tiba untuk daftar masuk.

Seorang pengunjung yang datang untuk urusan kerja, Yusra Ayob, 34, berkata, dia terpaksa berulang-alik ke hotel dengan jarak 150 meter sambil mengangkat beg yang berat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN