fbpx
Spring Airlines bakal memulakan penerbangan harian terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai ke LTAPP bermula Januari.

Penerbangan harian Shanghai-P. Pinang Spring Airlines bermula Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Syarikat penerbangan dari China, Spring Airlines akan memulakan penerbangan harian terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bermula 30 Januari 2026.

Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, perkhidmatan baharu itu menjadikan Spring Airlines sebagai syarikat penerbangan ketiga yang mengendalikan laluan Shanghai-Pulau Pinang selepas Juneyao Airlines dan Shanghai Airlines, sekali gus mengukuhkan lagi jaringan udara antara negeri ini dan China.

”Penerbangan berkenaan akan beroperasi menggunakan nombor penerbangan 9C7295/7250.

”Pesawat Airbus A320 akan digunakan dengan jadual ketibaan di Pulau Pinang pada pukul 2.30 petang waktu tempatan dan berlepas semula ke Shanghai pada pukul 3.30 petang, menawarkan kesalinghubungan perjalanan pergi dan balik yang lancar kepada penumpang,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, laluan sejauh kira-kira 3,645 kilometer itu mengambil masa penerbangan sekitar lima jam 50 minit dan dijangka memberi lebih banyak pilihan serta kemudahan kepada pelancong dari Shanghai dan kawasan sekitarnya.

Katanya, meskipun kelulusan awal penerbangan itu meliputi tempoh tertentu, prestasi positif dijangka membuka ruang kepada lanjutan perkhidmatan secara tetap berdasarkan permintaan pasaran yang memberangsangkan.

”Pembukaan laluan harian ini menghubungkan Pulau Pinang secara langsung dengan salah satu bandar paling dinamik di China dan memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pilihan utama pelancong.

”China kekal sebagai antara pasaran sumber pelancong terpenting Malaysia dan peningkatan kesalinghubungan udara ini dijangka merangsang pertumbuhan ketibaan pelancong dari Shanghai dan wilayah lain di China,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI