PETALING JAYA – Numinara, jenama penjagaan diri vegan dari Malaysia, telah mencatat pertumbuhan jualan bulanan purata sebanyak 159 peratus sehingga berjaya mencatat jualan melepasi RM1 juta dalam tempoh hanya lapan bulan.
Prestasi menggalakkan ini dipacu oleh strategi pemasaran syarikat berasaskan pengaruh (influencer-first), yang membolehkan jenama ini mengatasi beberapa pesaing mapan di TikTok Shop.
Menurut jurucakap jenama tersebut, prestasi kukuh Numinara disokong oleh Commerce.Asia, penyedia penyelesaian e-dagang penuh terkemuka di rantau ini.
Commerce.Asia menguruskan operasi pasaran, pemenuhan, logistik, strategi kempen serta kerjasama pencipta kandungan untuk jenama tersebut.
“Numinara adalah contoh jelas tentang apa yang berlaku apabila nilai jenama yang kukuh bertemu dengan enjin e-dagang yang tepat.
“Ekosistem kami direka untuk membantu jenama baharu berkembang dengan pantas dan lestari, khususnya di platform yang bergerak pantas seperti TikTok Shop,” katanya dalam kenyataan.
Numinara telah dilancarkan pada Mac 2025 yang mana jenama ini mengangkat botanikal Asia semula jadi, formulasi bebas kekejaman serta pembungkusan lestari, sekali gus menarik minat pengguna yang mencari alternatif kecantikan yang lembut dan beretika.
Diilhamkan oleh formula tradisional yang memperindah kulit, produk teras Numinara iaitu Aurelia, Camilla dan Isha, ia dihasilkan daripada bahan semula jadi seperti beras pulut dan halia hutan untuk membantu memulihkan keseimbangan semula jadi kulit tanpa bahan kimia yang keras.
Antara lain penyumbang jualan menggalakkan itu juga adalah kerjasama dengan pelakon, Diana Danielle
Turut melonjak jualan Numinara adalah kerjasamanya dengan Xamble Group, sebuah syarikat pertumbuhan digital yang memperkasa jenama untuk meluaskan capaian serta mendorong jualan yang boleh diukur melalui kandungan berasaskan pencipta dan kempen berorientasikan prestasi.
Xamble memainkan peranan penting dalam menghubungkan Numinara dengan komuniti pempengaruh yang tepat, membolehkan jenama ini berkembang pesat melalui strategi pencipta berasaskan data.
Melangkah ke hadapan, jenama ini merancang untuk memperluaskan rangkaian produk serta kehadiran digitalnya sambil meneruskan misi untuk menawarkan penyelesaian penjagaan diri vegan, semula jadi dan lembut. -KOSMO! ONLINE














