PETALING JAYA – Bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan pihaknya akan terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta agenda Madani meskipun selepas digugurkan daripada Kabinet.
Katanya, beliau akan terus berkhidmat kepada agama, rakyat dan negara dalam apa jua kapasiti yang diamanahkan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Kerajaan Madani.
“Pelaksanaan Pelan Transformasi Al-Falah sepanjang tempoh kepimpinan portfolio Hal Ehwal Agama terbukti membawa perubahan ketara terhadap landskap pentadbiran institusi agama di negara ini, sekali gus memperkukuh kebajikan umat Islam secara lebih tersusun dan berfokus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata, pendekatan berteraskan data dan kebertanggungjawaban turut memastikan manfaat pelaksanaan dirasai secara langsung oleh kumpulan sasar.
“Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja agensi Hal Ehwal Agama atas komitmen, profesionalisme dan dedikasi yang telah ditunjukkan sepanjang tempoh perkhidmatan saya.
“Segala pencapaian yang dicapai adalah hasil kerja berpasukan dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Senator Dr. Zulkifli Hasan atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Saya mendoakan agar beliau dapat meneruskan amanah ini dengan sebaiknya serta menyambung kesinambungan agenda dan inisiatif yang telah dirangka demi kepentingan agama dan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














