BERSYUKUR tidak pernah terjebak dalam hubungan toksik, penyanyi Ara Johari sedia menyampaikan mesej kepada pendengar yang bercinta dengan individu ‘redflag’ agar cepat tersedar.
Peringatan tersebut diketengahkan menerusi lagu baharunya berjudul Terlalu Bodoh juga kesinambungan dendangan terdahulu, Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL).
Menurut pemilik nama lengkap Nurfarrah Izzatie Johari, 28, itu, hubungan toksik harus dijauhi memandangkan kesannya mampu menjejaskan emosi serta mental seseorang.
“Saya tak pernah berada dalam hubungan toksik dan minta dijauhkan daripada perkara itu. Apabila terjerat, secara tidak langsung turut bawa risiko kepada kesihatan mental.
“Jangan biarkan diri kita terus dibuli insan yang tidak tahu menghargai. Namun kadangkala kita tak sedar atau terlalu mencintai sehingga sukar untuk keluar dari hubungan toksik itu.
“Inilah antara pendorong untuk saya tampil dengan lagu Terlalu Bodoh kerana ada dalam kalangan orang terdekat juga melaluinya,” katanya ketika sesi bersama peminat, baru-baru ini
Kali ini Ara bekerjasama dengan komposer sama untuk MJOL, Iham Baso selain pengubah muzik Adrian Rahmat Purwanto serta mendapat bimbingan vokal daripada Bowo Soulmate.
“Proses rakaman single Terlalu Bodoh dibuat di Indonesia pada September lalu. Banyak cabaran kerana saya kembali merakamkan semula lagu itu tiga minggu kemudian.
“Ini gara-gara saya tak puas hati dengan penghayatan sendiri sampai sanggup balik hari ke Jakarta beberapa minggu selepas menyempurnakan rakaman. Apa pun semua usaha sangat berbaloi,” ujarnya.
Fokus galau
Pada masa sama, Ara mengakui semakin selesa dengan genre balada selain menyifatkan lagu ‘galau’ menepati cita rasa pendengar masa kini.
“Buat masa ini saya fokus pada (lagu berkonsep) balada dulu. Kita tak boleh keluarkan lagu ikut suka, kita kena tahu apa yang peminat nak dengar.
Single Terlalu Bodoh diterbitkan Universal Music Malaysia (UMM) dan boleh distrim di semua platform digital bermula 19 November lalu.
“Lagu Terlalu Bodoh pun saya ambil masa lama untuk terima sebab genre balada memerlukan emosi yang sangat kuat dan kena ada dalam diri kita sendiri,” katanya.
Ara turut mengakui kemunculan muzik video (MV) untuk single terbaharu itu masih menjadi tanda tanya peminat, namun memaklumkan sedang dalam proses untuk disiapkan.
“Muzik video bakal direalisasikan cuma kami sedang menunggu keputusan hero MV berkenaan. Siapalah agaknya. Namun paling pasti individu tersebut adalah di luar jangkaan,” katanya.
Akuinya lagi, sebaik sahaja ‘hero’ terbabit memberikan pengesahan, dia bersama pasukan akan terbang ke Korea Selatan bagi urusan penggambaran MV terbabit.
Sejak dilancarkan pada 30 Julai 2024, single MJOR juga telah mengumpul 75 juta pendengar merentas platform strim dan YouTube.














