GEORGE TOWN – Kejadian merusuh melibatkan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah restoran di Jalan Lenggong, Jelutong di sini, malam tadi hingga tular di media sosial dipercayai berpunca daripada pertikaian urusan jual beli kereta antara dua pihak.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.30 malam itu melibatkan sekumpulan lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 28 tahun.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian urusan jual beli sebuah kereta antara dua pihak yang terlibat.
“Susulan kejadian itu, polis telah menahan enam suspek lelaki tempatan. Daripada tangkapan tersebut, seramai empat suspek utama telah direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 18 Disember manakala dua lagi suspek direman sehari hinggga hari ini bagi membantu siasatan kejadian berlaku,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, tular beberapa video pergaduhan di media sosial melibatkan sekumpulan lelaki sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam termasuk pengguna jalan di Jelutong.
Abdul Rozak berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata yang boleh membawa hukuman penjara jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














