fbpx
RAHMAD menyampaikan sijil kepada salah seorang murid pada Majlis Apresiasi Tadika JAIM Peringkat Negeri Melaka Kali Ke-28 di Auditorium Al Azim, Bukit Palah, Melaka hari ini.

Melaka cadang batal bantuan 3,000 kaki ponteng sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seramai 3,000 pelajar direkodkan ponteng sekolah setiap hari di Melaka, sekali gus mendorong cadangan kerajaan negeri untuk menarik balik bantuan pendidikan bagi memberi kesedaran dan mengurangkan gejala berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, jumlah itu melibatkan pelajar yang gagal mengemukakan alasan munasabah, malah ada yang tidak hadir secara berjarak-jarak sehingga jumlah keseluruhannya mencecah 60 hari.

Menurut beliau, antara faktor utama situasi itu termasuklah sikap malas pelajar, kurang pengawasan ibu bapa, serta keadaan kesihatan yang tidak dilaporkan kepada pihak sekolah.

“Seramai 3,000 pelajar sekolah rendah dan menengah direkodkan ponteng sekolah setiap hari di Melaka dan saya percaya situasi ini juga dihadapi di negeri-negeri lain.

“Antara sebab-sebab mungkin malas, kurangnya peranan ibu bapa dan faktor memang demam atau sakit tapi tidak melaporkan, tak ada sijil cuti sakit. Ada kes-kes ponteng ini berterusan sampai ke satu hingga dua bulan walaupun berjarak-jarak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Apresiasi Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Negeri Melaka Kali Ke-28 di Auditorium Al Azim, Bukit Palah, hari ini.

Katanya, sebagai langkah segera, kerajaan negeri mencadangkan beberapa tindakan termasuk menarik balik kelayakan pelajar terlibat untuk menerima bantuan kerajaan, seperti bantuan permulaan persekolahan, biasiswa, bantuan belajar dan derma siswa.

“Dalam resolusi itu, dua perkara utama diketengahkan. Pertama, cadangan supaya ibu bapa pelajar yang ponteng berlarutan dikenakan tindakan mengikut peraturan undang-undang, sebagaimana ibu bapa yang tidak hantar anak ke sekolah.

“Bagaimanapun, proses undang-undang itu biasanya mengambil masa yang agak lama, jadi antara langkah segera yang dicadangkan adalah kita batalkan kelayakan mereka untuk menerima sebarang bantuan kerajaan,” ujarnya.

Rahmad berkata, cadangan tersebut adalah sebahagian daripada 10 resolusi yang dibentangkan pada Konvensyen Khas Kerajaan Negeri bersama PIBG, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan baru-baru ini.

Tambahnya lagi, langkah itu dilakukan bagi memastikan para pelajar mengambil berat pendidikan dan tidak tercicir, seterusnya mengelakkan impak negatif jangka panjang terhadap pembangunan modal insan negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI