PETALING JAYA – Empat lelaki tempatan ditahan selepas didakwa menghalang tugas polis dalam kejadian di Telipok, Kota Kinabalu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar pukul 6.45 petang.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika sepasukan polis menjalankan tugas untuk menangkap seorang suspek bagi membantu siasatan kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak.
“Siasatan awal mendapati beberapa individu telah bertindak menghalang kenderaan polis dan mengeluarkan kata-kata kesat.
“Selain itu, mereka juga cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan sehingga menjejaskan tugas polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kasim berkata, polis kemudian menahan keempat-empat lelaki berusia 30-an hingga 50-an itu selain merampas sebatang besi golf dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Polis akan menjalankan ujian saringan air kencing serta merakam percakap saksi-saksi kejadian,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan susulan video tular memaparkan perbuatan mencederakan dan mendera pelajar sebuah madrasah di Kota Kinabalu.
Rakaman video itu menunjukkan suspek berpakaian hitam menghentak topi keledar, memukul dan menendang beberapa pelajar yang sedang duduk di balkoni. – KOSMO! ONLINE














