IPOH – Kejadian litar pintas yang kerap berlaku antara tanda sesuatu kawasan perumahan berkemungkinan terlibat dengan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di premis yang sebelum ini tidak mempunyai kemudahan tersebut juga menjadi tanda kewujudan aktiviti berkenaan di lokasi terbabit.
“Selain itu, antara tanda-tanda yang boleh diperhatikan orang ramai adalah bunyi yang kuat datang dari sesebuah kediaman kerana ia mungkin dihasilkan oleh ‘blower’ yang digunakan untuk menyejukkan rumah tersebut.
“Ini kerana mesin bitcoin menghasilkan haba yang banyak.
“Sindiket-sindiket bitcoin akan menggunakannya di rumah atau premis dimasuki,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Menurutnya, penduduk yang sering berdepan masalah bekalan elektrik terputus di kawasan meraka perlu melaporkan segera kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, laporan yang disampaikan itu membolehkan pasukan TNB melakukan pemeriksaan sekali gus menjalankan operasi dengan pihak polis bagi memotong bekalan elektrik di kediaman atau premis terlibat.
Noor Hisam berkata, kerjasama daripada orang ramai amat penting kerana pihaknya tidak dapat memantau kawasan perumahan atau premis pada setiap masa.
“Jadi kita memerlukan kerjasama daripada orang awam untuk turut sama memerhatikan tanda-tanda berkenaan agar aktiviti itu dapat dibanteras,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang wanita buntu apabila terpaksa menanggung bil elektrik berjumlah RM1.2 juta selepas premis miliknya yang disewakan kepada individu lain digunakan untuk aktiviti perlombongan haram bitcoin.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yuan, 43, berkata, dia menyewakan premis perniagaan dua tingkat itu kepada seorang lelaki dengan kadar RM700 sebulan.
Pendapatan lumayan mencecah ratusan ribu ringgit yang dijana menerusi perlombongan bitcoin menyebabkan sindiket itu tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di negeri ini. -KOSMO! ONLINE














