PENGGUNAAN kamera badan atau body-worn cameras (BWC) oleh anggota polis Scotland dianggap sebagai satu inisiatif penting dalam meningkat keselamatan kakitangan dan orang awam.
Teknologi tersebut bukan sahaja merakam kejadian secara objektif, malah menggalakkan budaya profesionalisme serta ketelusan dalam setiap tindakan penguatkuasaan.
Pelaksanaan sistem itu mencerminkan komitmen polis Scotland untuk memperkukuhkan kepercayaan awam melalui pendekatan lebih moden, responsif dan berteraskan bukti.
Menurut Komander Kawasan Tempatan Sempadan Scottish, Ketua Inspektor, Stuart Fletcher, penggunaan kamera badan mampu merakam situasi secara langsung tanpa sebarang manipulasi daripada mana-mana pihak.
Rakaman tersebut menjadi medium penting dalam mengurangkan pertikaian antara pegawai dengan orang awam, khususnya ketika kes berisiko tinggi atau berpotensi menjadi isu perundangan.
“Kamera badan dapat membantu menyelesaikan siasatan dengan lebih cepat. Ini kerana pihak penyiasat tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada keterangan lisan atau ingatan saksi, sebaliknya boleh menilai kejadian berdasarkan visual sebenar.
“Hal ini bukan sahaja menjimatkan masa, bahkan mengelakkan sebarang kemungkinan salah tafsir yang boleh menjejaskan kredibiliti sesuatu kes,” katanya memetik laporan Border Telegraph.
Pemakaian kamera badan jenis Motorola Solutions VB400 itu mula diperkenalkan sekitar Mac lalu. Kini, sedang dalam fasa aplikasi kepada semua anggota di seluruh negara.

Laporan sama turut menyatakan, satu kajian antarabangsa menunjukkan bahawa apabila individu sedar mereka sedang dirakam, kecenderungan untuk bertindak secara agresif atau tidak rasional akan menurun.
Pegawai polis juga cenderung mematuhi prosedur dengan lebih teliti apabila mengetahui setiap arahan atau tindakan mereka disokong oleh bukti video, sekali gus membantu dalam mengatasi masalah salah laku anggota polis.
“Selain aspek keselamatan dan pencegahan, kamera badan turut membantu pegawai membuat keputusan yang lebih jelas semasa operasi berlangsung.
“Dalam situasi cemas atau tekanan tinggi, pegawai polis normal menghadapi cabaran untuk membuat penilaian tepat.
“Jadi, rakaman kamera badan boleh digunakan untuk semakan semula dan mengkaji secara terperinci. Maka setiap insiden boleh dikaji berdasarkan data yang ada,” katanya.
Menerusi perspektif masyarakat, penggunaan kamera badan dilihat sebagai salah satu langkah penting ke arah meningkatkan keyakinan terhadap institusi keselamatan.

Disebabkan itu, perbincangan mengenai kamera badan telah lama dijalankan terutama dalam konteks keperluan melindungi pegawai bertugas di lapangan serta memastikan hak individu dihormati.
Bagaimanapun, apabila polis menunjukkan kesediaan untuk dirakam semasa bertugas, hal itu menunjukkan tahap keterbukaan tinggi dan mengurangkan jurang persepsi antara penguatkuasa undang-undang dan masyarakat.
Namun, penggunaan kamera badan turut memerlukan pengurusan data yang teratur dan telus bukan sahaja melibatkan isu privasi, malah merangkumi hal-hal lain.
Misalnya, isu berkaitan penyimpanan maklumat, tempoh rakaman dan akses kepada rakaman perlu ditangani secara sistematik.
Susulan itu, polis Scotland telah menetapkan garis panduan ketat agar rakaman digunakan hanya untuk tujuan penguatkuasaan dan bukan memberi manfaat kepada mana-mana pihak.
“Perlindungan data peribadi merupakan komponen yang tidak boleh diketepikan kerana keyakinan awam terhadap teknologi ini bergantung pada sejauh mana digunakan secara bertanggungjawab,” katanya.
Penggunaan kamera badan secara tidak langsung menjadi simbol transformasi institusi keselamatan untuk lebih responsif terhadap keperluan masyarakat moden.














