fbpx
Johari.

Johari hargai kepercayaan PM, sedia galas amanah sebagai Menteri MITI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan serta amanah yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) baharu.

Johari dalam satu kenyataan berkata, pelantikan tersebut merupakan satu amanah besar khususnya ketika Malaysia berdepan persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan landskap perdagangan dunia serta perkembangan teknologi.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing ekonomi negara terus terpelihara, keyakinan pelabur diperkukuh, serta dasar perdagangan dan perindustrian negara terus memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Johari memegang jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi sejak 2023 dan dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Anwar sebentar tadi, portfolio tersebut kini disandang oleh Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI