fbpx
Insiden di Loji Janakuasa Malakoff, Kompleks Tanjung Bin pada 13 Disember lalu.

Insiden Tanjung Bin: Bukan kren, tapi pemunggah arang batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peralatan yang terlibat dalam insiden runtuhan dan kebakaran di Loji Janakuasa Malakoff, Kompleks Tanjung Bin, Johor pada 13 Disember lalu ialah pemunggah arang batu (coal unloader) dan bukannya kren.

Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dalam kenyataannya, pemunggah arang batu tersebut tidak berada dalam operasi pada waktu kejadian kerana sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan.

“Jeti Kompleks Tanjung Bin dilengkapi dengan lima unit pemunggah arang batu, dan hanya satu unit sahaja yang terlibat dalam insiden ini.

“Pemunggah arang batu lain terus beroperasi seperti biasa. Sehubungan itu, operasi di jeti tersebut, serta di Stesen Janakuasa Tanjung Bin dan Stesen Janakuasa Tanjung Bin Energy, tidak terjejas,” menurut kenyataan itu hari ini.

Malakoff menjelaskan, loji jana kuasa dan jeti juga terletak secara fizikal berasingan dan insiden ini tidak memberi kesan kepada operasi loji.

Dalam masa sama, Malakoff turut memberi jaminan kepada para pihak berkepentingan bahawa insiden ini tidak menjejaskan projek-projek semasa atau akan datang syarikat.

“Siasatan dalaman berhubung insiden ini sedang dijalankan dan Malakoff terus bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan, termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Memandangkan siasatan masih berjalan, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan pada peringkat ini. Maklumat lanjut akan dikongsikan setelah dapatan siasatan disahkan,” kata Malakoff.

Sementara itu, Malakoff kekal komited terhadap aspek keselamatan, integriti operasi dan ketelusan, serta akan terus menyalurkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa apabila wajar.

Pada 13 Disember lalu media melaporkan, dua pekerja maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian runtuhan dan kebakaran kren yang mengangkat arang batu di Malakoff Power Plant, Jalan Tanjung Bin, Kukup. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI