PETALING JAYA– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan barisan saf kepimpinan baharu Kabinet Kerajaan Madani yang diumumkan hari ini memikul amanah besar untuk bekerja dengan penuh iltizam, disiplin dan tanggungjawab demi rakyat serta negara.
Menurut beliau, kepercayaan yang diberikan bukan sekadar pelantikan jawatan, sebaliknya satu tanggungjawab berat yang menuntut komitmen tinggi dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan utama pentadbiran.
Anwar berkata, Kabinet Madani perlu bergerak sebagai satu pasukan yang mantap, berfungsi secara berkesan dan berintegriti dalam melaksanakan agenda reformasi, memperkukuh ekonomi serta menjamin kestabilan dan kemakmuran negara.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pimpinan Kabinet sebelum ini atas khidmat bakti, sumbangan dan komitmen yang telah diberikan dalam menjayakan dasar serta agenda pembangunan Kerajaan Madani.
Perdana Menteri menegaskan, kesinambungan usaha dan semangat bekerja demi rakyat perlu diteruskan agar setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.- KOSMO! ONLINE.














