KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 6,404 notis saman terhadap kenderaan perdagangan yang dikesan membawa muatan melebihi had dibenarkan menerusi operasi khas penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak Oktober lalu hingga 31 Disember ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah tersebut, 4,743 notis dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan di bawah saman JPJ (P22).
Menurutnya, 1,538 notis lagi dikeluarkan oleh Agensi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (ALPKP) manakala 123 notis dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Penguatkuasaan terhadap kenderaan berat akan terus dilaksanakan dan tidak akan dihentikan walaupun operasi ini berakhir pada 31 Disember.
“Apa sahaja bentuk operasi yang dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang, tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan secara berskala,” katanya pada sidang akhbar Ops Luxury 4.0 di Depoh Sitaan, Ibu Pejabat JPJ Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan.
Aedy berkata, hasil operasi berkenaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan termasuk kes yang telah dibawa ke mahkamah serta tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
“Ada kes yang kita bawa ke mahkamah dan bagi kes tertentu, tindakan melucut hak lori turut dipertimbangkan. Namun, bagi kesalahan kecil, tindakan saman akan dikenakan,” jelasnya.
Pada 14 Oktober lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui JPJ melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran di seluruh negara bagi membanteras kesalahan membawa lebih muatan melibatkan kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, operasi yang dikenali sebagai ‘Perang Lebih Muatan Kenderaan Perdagangan’ itu dilaksanakan serta-merta sehingga 31 Disember depan.
Operasi tersebut melibatkan lima zon utama iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo, dengan setiap negeri menggerakkan empat pasukan penguat kuasa, menjadikan keseluruhannya 12 pasukan aktif bagi setiap zon.
Penguatkuasaan dijalankan selama tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri pelaksanaan dengan tumpuan diberikan kepada kawasan panas yang kerap melibatkan kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan.
Antara muatan berisiko tinggi dikenal pasti termasuk batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, sawit dan kayu balak, khususnya melibatkan sektor kuari, pelabuhan dan industri berat.
JPJ berkata, tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar had muatan ditetapkan di bawah syarat lesen, termasuk pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai dan mengabaikan keselamatan awam sehingga menyebabkan kerosakan jalan raya atau kemalangan.
Pelaksanaan operasi bersepadu itu juga merupakan sebahagian daripada strategi penguatkuasaan holistik MOT dan JPJ dalam memperkukuh pematuhan undang-undang serta meningkatkan tahap keselamatan jalan raya. – KOSMO! ONLINE














