KOTA BHARU – Seorang wanita yang dikatakan mempunyai dua suami di Tanah Merah dekat sini sudah bercerai dengan suami pertamanya pada Jun 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud berkata, wanita yang berusia 30 tahun itu dan bekas suaminya mengesahkan mereka sudah berpisah sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, pengesahan itu diperoleh semasa kedua-dua individu berkenaan hadir memberi keterangan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) di Pejabat Agama Tanah Merah semalam.
“Berdasarkan keterangan lelaki dan wanita itu, mereka telah sah bercerai pada Jun 2022. Wanita itu kemudian berkahwin dengan lelaki lain yang sebelum ini dikatakan suami keduanya di Songkhla, Thailand pada November tahun lalu.
“Justeru, dakwaan yang mengatakan dia bersuami dua dilihat kurang tepat kerana wanita itu hanya mempunyai seorang suami sahaja ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Asri memberitahu, bagaimanapun, siasatan berhubung hal-hal lain dalam kes tersebut masih dalam tindakan Jaheaik.
Menurutnya, buat masa ini, Jaheaik selesai mengambil tindakan terhadap kes itu melibatkan urusan pendaftaran perkahwinan.
Kosmo! Online semalam melaporkan, wanita yang dikatakan mempunyai dua suami di Tanah Merah dekat sini sudah tampil dan memberi keterangan kepada Jaheaik.
Mohd. Asri berkata, keterangan tersebut perlu diambil daripada wanita itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dia mempunyai dua suami.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 38 dan Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.
“Seksyen 38 itu berkait akuan atau pernyataan palsu untuk mendapatkan dan Seksyen 40 merujuk kepada kesalahan berhubung akad nikah,” ujarnya.
Terdahulu, seorang wanita mendakwa abang kandungnya ditipu oleh kakak ipar apabila mendapati isteri abangnya itu berkahwin dengan seorang lagi lelaki sejak lebih setahun lalu.
Tembelang wanita dari Terengganu itu terbongkar selepas Nur, 35, bersama dua anggota polis dan penduduk menyerbu ke rumah suami keduanya di Batu 11 di sini pada 6 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE














