fbpx
SINONIM dengan gelaran Ratu Rock atau Rock Queen, Ella merancang untuk menyumbang semula kepada masyarakat dengan mengadakan konsert bertiket murah yang mesra poket semua golongan demi menjayakan Majlis Tertinggi RockQueen pada Februari depan.

Tiket murah RockQueen, Ella nak semua ‘rasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS kejayaan luar biasa Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota pada 10 Jun 2023 dengan tiket habis disambar dalam tempoh 24 jam, Ratu Rock negara Ella kembali mencipta fenomena apabila mengumumkan penganjuran konsert terbesarnya, Majlis Tertinggi RockQueen pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Lebih mengejutkan, Ella tampil menawarkan tiket serendah RM39 sebagai penghargaan buat peminat yang setia menyokong tiga dekad kembara seninya.

“Saya akan mencapai usia 60 pada  2026, dan sudah tentu saya ingin memberi impak dan legasi berkekalan khususnya dalam aspek kemanusiaan. Majlis Tertinggi RockQueen adalah terjemahan kepada sebuah gerakan yang mahukan Peace, Love & Rindu,” ujar Ella.

MAJLIS Tertinggi RockQuen untuk tontonan pelbagai lapisan masyarakat kerana menawarkan tiket serendah RM39.

Tambahnya jua, antara elemen penting konsert kali ini, adalah give back to the people. Bersandarkan visi tersebut, Ella dan penganjur memilih lokasi besar dengan pilihan harga tiket yang murah namun tidak menafikan pengalaman luar biasa pengunjung konsert dan audio visual bermutu buat semua yang hadir.

Selain harga tiket mesra poket, perhatian khalayak turut terarah kepada kemampuan Ella yang bakal menginjak ke usia 60 tahun, namun kekal bertenaga serta komited mempersiapkan diri merealisasikan konsert berskala mega tersebut.

Menurut pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin, itu perkara biasa bagi individu sepertinya yang mementingkan kesihatan selain aktif bersukan demi menjaga stamina.

“Saya ada rutin yang diamalkan. Saya aktif berlari, yoga, pilates dan bersenam setiap hari. Memang saya biasa buat setengah jam setiap pagi. Kadang-kadang malam pun saya bersenam. Suplemen wajib bagi saya. Saya juga buat pemeriksaan kesihatan secara berkala,” katanya kepada HibGlam.

ELLA menafikan tindakannya memadam gambar-gambar dalam Instagram sebagai strategi pemasaran, sebaliknya satu pendekatan untuk fokus menyalurkan maklumat terkini konsertnya yang bakal berlangsung pada 14 Februari 2026.

Bukan strategi

Dalam masa sama, penyanyi berusia 59 tahun itu turut menjelaskan tindakan memadam gambar dalam Instagram (IG) baru-baru ini bukanlah strategi pemasaran seperti didakwa ramai.

“Itu bukan strategi pemasaran. Hitman Solutions (pihak penganjur) menasihati saya untuk buat sedemikian kerana mahu fokus projek terbesar ini (konsert).

“Ini akan menjadi konsert peribadi solo saya dengan kehadiran penonton paling ramai. Kita bukan padam tapi archive (arkibkan) sekejap. Selepas konsert habis, kita akan buka balik semua kandungan yang lain,” jelasnya.

Meskipun konsert berlangsung beberapa hari sebelum Ramadan, Ella tidak terkesan dengan kecaman netizen.

Tegas Ella, projek itu tetap diteruskan seperti yang dirancang kerana tidak bertentangan dengan agama.

“Bagi saya bergantung pada niat. Kita nak buat persembahan untuk apa. Itu yang paling penting sekali. Kita tak boleh lari daripada kecaman. Memang dunia sekarang, netizen sentiasa ada untuk mengecam.

“Kadang-kadang tak ada apa pun mereka akan kecam. Selagi tidak bertentangan dengan halal dan haram, saya rasa itu yang terbaik untuk kita,” katanya lagi.

ROHIT (tengah) menjelaskan tiket dijual dengan harga rendah bagi memastikan semua peminat dapat meraikan momen bersejarah bersama Ella.

Tarikh istimewa

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, menegaskan tarikh 14 Februari tidak mempunyai sebarang simbolik khusus.

“Tiada (simbolik). Lebih kepada kekosongan tempat dan memang stadium penuh untuk separuh tahun pertama.

“Tanggal 14 Februari sahaja yang kita ada sebenarnya. Kita bentangkan idea dapatlah tarikh tersebut.

“Sama ada kita dapat tarikh 14 Februari atau suku akhir tahun tetapi bukan dalam perancangan kita udntuk buat projek ini ketika itu,” ujarnya.

Rohit turut menjelaskan bahawa penawaran harga tiket rendah dibuat demi memastikan semua lapisan masyarakat dapat bersama-sama meraikan momen bersejarah pelantun lagu Sembilu itu.

“Sebagai penganjur, penjualan tiket murah bukan strategi tapi hasrat kita nak semua peminat berkumpul sebab itu tengok dalam poster kita letak bendera semua negeri. Kita nak semua mewakili Majlis Tertinggi Rock Queen daripada semua kaum, masyarakat dan golongan.

“Kita nak semua orang datang dan harga tiket mesti mampu milik. Semua orang mempunyai latar belakang sosial dan ekonomi yang berbeza,” tutupnya.

Kalau selama ini dia ‘Puteri Kota’ namun menerusi Majlis Tertinggi Rockqueen, Ella awal-awal lagi sedang menempah jolokan baharu, dialah Puteri Masyarakat, selama-lamanya si Ratu Rock rakyat Malaysia!

DENGAN sokongan dan restu penuh cinta daripada suami, Erra rancak melakukan persiapan konsert mega solo terbesarnya tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN