BANGKOK – Juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei enggan terus meratapi kegagalan Sukan SEA 2025, sebaliknya mahu segera bangkit pada Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bermula 17 Disember ini.
Pasangan negara itu terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas impian ke pentas final disekat gandingan Thailand di ranking ke-13 dunia, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat pada separuh akhir di Universiti Thammasat, Bangkok kelmarin.
Tang Jie-Ee Wei tewas straight set 15-21, 16-21 sekali gus menyaksikan sasaran empat emas ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak kesampaian selepas turut terlepas gelaran juara berpasukan sebelum ini.
“Saya dan Ee Wei sentiasa cuba yang terbaik untuk mendapatkan keputusan positif dalam setiap perlawanan. Memang kami kecewa kerana tidak dapat raih keputusan yang bagus,” kata Tang Jie.
Mengulas persiapan ke Jelajah Dunia Akhir BWF, Tang Jie menegaskan fokus utama mereka kini melakukan ‘bedah siasat’ bagi mengenal pasti punca kekalahan sebelum terbang ke China.
“Kami belum fikir mengenai Jelajah Dunia Akhir sebab sekarang masih lagi tertanya-tanya di mana kesilapan kami. Walaupun mereka (Ruttanapak-Jhenicha) tak bermain di Jelajah Dunia, pasangan lain akan cuba baca permainan kami, jadi perlu segera lakukan perubahan dan lebih konsisten,” katanya.
Tang Jie mengakui pingat gangsa Sukan SEA bukanlah pencapaian yang dimahukan, namun ia menjadi pengajaran berguna selepas strategi lawan membuatkan mereka hilang rentak.
“Memang tidak puas hati sebab kami letak sasaran lebih tinggi. Ia satu pengajaran kerana strategi lawan membuatkan kami rasa tidak selesa ketika beraksi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














