IPOH – Suspek kes menikam dan menembak anggota polis dalam kejadian di Simpang Pulai di sini pada September lalu masih berada di luar negara.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, usaha sedang dijalankan bagi mengesan lelaki tersebut dengan kerjasama Bukit Aman dan beberapa pihak berkaitan.
“Setakat ni suspek dipercayai berada di luar negara. Kita masih lagi berusaha mengesan lelaki itu bersama Bukit Aman dan pihak lain,” katanya selepas merasmikan Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya (Op Kerja) Tahun 2025 di Unisem, Simpang Pulai di sini hari ini.
Menurutnya, anggota polis berusia 26 tahun yang cedera dalam kejadian itu ditukarkan ke Sarawak atas faktor kebajikan memandangkan dia tidak mempunyai ahli keluarga terdekat di Semenanjung Malaysia.
“Anggota itu mendapatkan rawatan di sana (Sarawak). Dia tiada keluarga di sini (Semenanjung), jadi pertukaran itu bagi memudahkan urusan kebajikannya. Saya meminta jasa baik Bukit Aman (bahagian pertukaran) dan dia bertukar ke kampung halamannya,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi, 7 September lalu, seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak seorang lelaki ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Simpang Pulai. Pemeriksaan terhadap kereta suspek menemukan mayat wanita di tempat duduk belakang, manakala lelaki itu melarikan diri bersama pistol pasukan.
Proses bedah siasat ke atas mayat wanita berusia 62 tahun itu mendapati punca kematiannya disebabkan lemas kerana kekurangan oksigen.- KOSMO! ONLINE














