fbpx
PURIPOL ternyata dalam kelas tersendiri dan sukar digugat oleh mana-mana pelari lain apabila menjuarai acara 200m kelmarin.

Sukan SEA: Puripol raja pecut berganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Jaguh pecut Thailand, Puripol Boonson terus mengesahkan statusnya sebagai pelari paling sensasi Asia Tenggara apabila melengkapkan emas berganda acara pecut dengan menjuarai 200 meter (m) lelaki Sukan SEA Thailand 2025, kelmarin.

Pelari berusia 19 tahun itu mempamerkan larian bertenaga di Stadium Nasional Suphachalasai untuk merakam masa 20.07 saat (s), sekali gus memecahkan rekod kebangsaan dan rekod Sukan SEA miliknya sendiri.

Catatan luar biasa itu memperbaharui rekod peribadi 20.19s yang dilakukannya pada 2022, selain meninggalkan jauh pencabar terdekat, Marc Brian Louis dari Singapura yang meraih perak dengan 20.72s.

Pingat gangsa menjadi milik wakil Malaysia, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang mencatat 20.73s, sekali gus mengulangi kejayaan podium selepas meraih gangsa dalam acara 100m sebelum ini.

Kejayaan itu hadir hanya dua hari selepas Puripol mencipta sejarah sebagai pelari Asia Tenggara pertama memecahkan tembok 10s apabila merekodkan 9.94s dalam saringan 100m sebelum menjuarai final dengan catatan 10.00s.

Kemenangan dalam acara 200m itu juga mengukuhkan dominasi Thailand dalam acara pecut di hadapan penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium.

Puripol kini berpeluang melengkapkan koleksi emas di Bangkok apabila dijangka mengetuai pasukan Thailand dalam acara 4x100m berganti-ganti lelaki yang dijadualkan berlangsung Isnin ini.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI