BANNER SUKAN SEA
Semangat ‘Negaraku’ bakar semangat
-Pearly-Thinaah muncul juara
-Tamatkan penantian 10 tahun
BANGKOK – Mahu mendengar laungan lagu Negaraku di bumi Thailand menjadi pembakar semangat beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk bangkit mencipta magis menamatkan penantian 10 tahun pingat emas Sukan SEA 2025 semalam.
Aksi final di Universiti Thammasat itu menyaksikan gandingan ranking kedua dunia itu dipaksa ‘bermandi peluh’ selama 86 minit sebelum menumbangkan bereg Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.
Kemenangan 21-16, 19-21, 21-17 itu mengulangi pencapaian emas terakhir Malaysia acara itu menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada edisi Singapura 2015.
Pearly mengakui, hasrat melihat Jalur Gemilang di podium kemenangan menjadi impiannya dan enggan terus menyerah kalah biarpun diasak hebat dan ketinggalan pada set penentuan.
“Set kedua kami mendahului, tetapi kami tergesa-gesa hingga hilang mata. Jadi pada set penentuan, walaupun lawan mendahului, kami berpegang kepada prinsip tidak menyerah kalah.
“Saya mahu sangat menyanyikan lagu Negaraku. Saya tak putus asa dengan mudah, jujurnya saya rasa hampir menangis tetapi sebab terlalu penat, air mata tak keluar. Saya sangat bangga dapat mendengar lagu kebangsaan berkumandang,” katanya.
Thinaah turut menegaskan beraksi di temasya seperti Sukan SEA menuntut tanggungjawab yang jauh berbeza berbanding kejohanan Jelajah Dunia mahupun perlawanan antarabangsa.
“Kami bukan berjuang untuk diri sendiri, tetapi buat negara. Kami tak mahu kecewakan sesiapa dan mahu semua rakyat Malaysia bangga. Semangat itulah kami bawa ke dalam gelanggang,” jelas Thinaah.
Mengulas mengenai detik menyentuh hati apabila Thinaah dilihat memegang pipi Pearly sebaik tamat perlawanan, Thinaah mengakui ia adalah tanda penghargaan kepada rakan karibnya itu yang bertahan bermati-matian walaupun dalam keadaan fizikal yang sangat keletihan.
“Saya sangat gembira dia mampu bertahan sehingga habis. Saya tahu dia sangat bergelut dan letih. Kami saling mengingatkan untuk terus kuat.
“Kami kawan baik dalam kehidupan sebenar, malah sebelum kami digandingkan lagi. Ikatan persahabatan itu sangat membantu kami di dalam gelanggang untuk terus bangkit,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














