BANGKOK – Perenang Filipina, Kayla Sanchez terus mencuri tumpuan di pusat akuatik Sukan SEA Thailand 2025 apabila menghadiahkan emas acara 100 meter (m) kuak lentang wanita sekali gus melengkapkan koleksi lima pingat daripada lima acara disertainya setakat ini.
Sanchez menampilkan renangan bertenaga dari awal sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan 1:02.35 saat (s), sekali gus menghadiahkan emas ketiganya di temasya berkenaan dan mengekalkan penguasaan Filipina dalam acara tersebut.
“Saya benar-benar ‘terdiam’. Kejohanan ini sangat panjang dan saya masih ada beberapa acara lagi, jadi saya hanya fokus satu demi satu. Saya tahu perlu bermula laju dan kekal tenang pada 50 meter terakhir,” kata Sanchez.
Pingat perak menjadi milik wakil tuan rumah, Mia Millar yang mencatat 1:02.52s, manakala gangsa dimenangi perenang Indonesia, Flairene Candrea dengan 1:02.60s dalam saingan sengit hingga ke pecutan terakhir.
Lebih istimewa, kejayaan itu didedikasikan Sanchez kepada bapanya, Noel yang menyambut hari lahir pada hari perlumbaan berlangsung, menjadikan emas tersebut hadiah paling bermakna buat keluarganya.
“Hari ini juga hari lahir ayah saya, jadi saya mahu hadiahkan emas ini kepadanya dan kepada Filipina. Seluruh keluarga saya berada di sini dan itu memberi makna yang sangat besar kepada saya,” tambah perenang berusia 24 tahun itu.
Kejayaan terbaharu itu menyaksikan Sanchez sudah meraih emas 4x100m gaya bebas, emas 100m gaya bebas, perak 200m gaya bebas dan perak 50m kuak lentang, sekali gus menjadikannya atlet Filipina paling banyak mengumpul pingat pada edisi kali ini setakat ini. – AGENSI














