fbpx
BARISAN pemain sepak takraw negara meraih pingat emas acara regu berpasukan pada Sukan SEA 2025 edisi ke-33 kali ini. - MSN MALAYSIA

Sukan SEA: ‘Ibu emas’ takraw milik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENANTIAN panjang selama 34 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas sepak takraw regu berpasukan lelaki di Sukan SEA akhirnya terlerai selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-1 pada aksi final penuh dramatik semalam.

Lebih manis, kejayaan bersejarah itu dilakar di hadapan ribuan penyokong tuan rumah yang memenuhi Gimnasium Nakhon Pathom, Bangkok menyaksikan Malaysia merampas kembali kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada edisi Manila 1991.

“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana hari ini tercipta satu lagi sejarah sepak takraw negara. Setelah 34 tahun menanti, akhirnya kita berjaya menjadi juara acara berpasukan.

“Sebelum ini kita pernah mencuba beberapa kali, termasuk peluang cerah di Piala Dunia Kuala Lumpur dan Piala Asia, namun gagal. Tetapi hari ini, kejayaan dramatik ini disambut dengan air mata kegembiraan, baik penyokong, pemain, mahupun saya sendiri. Kemenangan ini adalah yang paling manis kerana ia dilakar di bumi Thailand.”

“Pingat ini adalah ‘ibu segala pingat emas’ sepak takraw dan ibu segala kemenangan kerana ia adalah acara berpasukan. Kita sudah pernah memecahkan dominasi dalam acara regu, kuadran, dan double, cuma tinggal acara berpasukan sahaja yang belum.

“Hari ini (semalam), dengan izin Allah, kita berjaya melengkapkan koleksi itu dengan menewaskan Thailand 2-1. Ini adalah sejarah dan perkembangan terbaik untuk sukan sepak takraw negara.”

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peminat, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin dan khususnya Presiden MOM (Majlis Olimpik Malaysia), Tan Sri Norza Zakaria yang sentiasa memberikan sokongan padu sehingga laungan ‘Malaysia Boleh’ bergema di sini.

“Ini baru permulaan. Kita masih ada tiga lagi acara iaitu kuadran campuran, kuadran, dan regu. Insya-Allah, kita doakan agar misi memburu emas dapat diteruskan,” kata Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan.

Thailand bermula langkah kanan apabila regu pertama mereka berjaya ‘melibas’ trio negara, Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir 15-9, 11-15, 15-13.

Ia langsung tak mematahkan semangat apabila regu kedua, Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (apit kanan) membuktikan status regu terbaik dunia, mengatasi Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai serta Rachan Viphan bagi mengikat kedudukan 1-1.

Biarpun ketinggalan 0-7, regu ketiga diketuai Zulkifli Razak (Zarif Marican Ibrahim Marican), Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwaw bangkit mencuri kemenangan 15-13 pada set pertama sebelum mengesahkan kejuaraan 15-11 di set kedua, memadam dominasi panjang Thailand.

Kejayaan itu bukan sahaja mencatat sejarah baharu, malah menjadi simbol kebangkitan skuad negara di pentas Sukan SEA selepas lebih tiga dekad penantian untuk mencipta kemenangan dalam acara yang sering menjadi milik Thailand. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN