BANGKOK – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan kejayaan atlet meraih pingat emas biarpun tidak diletakkan sasaran khusus membuktikan penetapan sasaran emas secara terbuka bukanlah satu-satunya faktor penentu kejayaan di Sukan SEA 2025.
Hannah mengakui, pencapaian Malaysia yang kini sudah melepasi 100 pingat membuktikan setiap atlet mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) peribadi dan sentiasa dahagakan kilauan emas, sekali gus menepis kritikan sesetengah pihak sebelum ini.
“Ramai atlet walaupun tidak disasarkan memenangi emas, akhirnya berjaya. Ini bermaksud dalam pemikiran atlet kita, semua ada KPI masing-masing dan tidak benar kritikan pihak luar yang mengatakan tanpa sasaran, tidak mampu memenangi pingat emas,” katanya.
Jelasnya, setiap atlet bertanding di peringkat antarabangsa sudah matang dan mempunyai impian untuk berdiri di podium tertinggi, tanpa perlu didesak oleh sasaran yang diumumkan kepada umum.
“Atlet kita matang dan setiap individu yang berlatih sudah tentu mahukan emas. Oleh itu, walaupun sasaran (emas) itu tidak diumumkan kepada umum, semua atlet mengetahuinya,” jelasnya ketika ditemui pemberita.
Dalam pada itu, Hannah mengulas mengenai kritikan yang dilemparkan sebelum ini susulan keputusan kementerian untuk hanya meletakkan sasaran 200 pingat secara keseluruhan, tanpa mengira warna.
Keputusan itu mengundang pelbagai reaksi, terutamanya selepas Malaysia menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah, 1,652 anggota merangkumi 1,138 atlet dan 514 pegawai.
Hannah turut merakamkan ucapan tahniah kepada atlet-atlet yang berjaya mengatasi sasaran peribadi mereka dengan menyumbang kilauan emas buat negara.














