GOMBAK – Kerajaan dalam keadaan bersiap-siaga bagi berdepan gelombang kedua banjir yang dijangka melanda kawasan Pantai Timur dalam tempoh terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) giat memastikan kesediaan amaran awal termasuk memberi keutamaan kepada proses pemindahan mangsa yang berada di kawasan berisiko tinggi.
“Yang penting sistem yang kita wujudkan adalah dari segi kesiap-siagaan dan amaran awal supaya pemindahan dapat dilakukan lebih awal.
“Itu bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan dokumen dan juga kita dapat buat persiapan bagi mangsa yang kita jangkakan dari kawasan ‘red spot’ itu untuk pergi ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Nadma berkata, gelombang kedua banjir dijangka melibatkan Kelantan dan Terengganu sebelum merebak ke Pahang serta Johor. Selain itu, selatan Sarawak turut dikenal pasti berdepan situasi sama.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi memaklumkan, gelombang monsun kedua melanda Pantai Timur, Johor, Sabah dan Sarawak bermula 5 hingga 8 Disember yang membawa hujan berterusan ke seluruh kawasan terlibat. – KOSMO! ONLINE














