KUALA LUMPUR – Polis meminta saksi kejadian termasuk pemilik rakaman kamera papan pemuka tampil membantu siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Kuchai Lama, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu susulan penularan video di media sosial menerusi platform TikTok.
Katanya, kemalangan tersebut berlaku pada 8 Disember lalu kira-kira pukul 12.30 tengah malam, membabitkan sebuah motosikal jenis Honda RS150 dan sebuah kereta jenis Honda City di Jalan Kuchai Lama dari arah Sri Petaling menghala ke Jalan Klang Lama.
“Siasatan awal mendapati perlanggaran berlaku ketika motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 25 tahun sedang melalui selekoh jalan sebelum dilanggar oleh sebuah kereta dipandu lelaki berusia 38 tahun yang datang dari arah Sri Petaling.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa (penunggang motosikal) mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes pada mulanya disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum diklasifikasikan semula kepada Seksyen 41(1) akta sama selepas mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HCTM kira-kira pukul 7.11 pagi, 9 Disember lalu.
Polis turut merakam percakapan pemandu kereta yang terlibat dan individu berkenaan telah membuat laporan polis pada hari kejadian.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” ujarnya.
Jelasnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Salehuddin Musa di Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang wanita tidak dapat menanggung kesedihan selepas suami yang dinikahinya sejak sebulan lalu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuchai Lama pada 8 Disember lalu.
Rashidah Shahira Shamsuddin, 24, berkata, pada hari kejadian arwah suaminya, Muhammad Harish Aiman Mat Zahid, 25, yang bekerja sebagai penghantar barangan baru selesai bekerja dan dalam perjalanan pulang ke rumah. – KOSMO! ONLINE














