fbpx
Gambar hiasan.

PTPTN lanjut Kempen Lestari Pendidikan hingga 31 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melanjutkan tempoh pelaksanaan Kempen Lestari Pendidikan sehingga 31 Disember ini susulan sambutan amat menggalakkan daripada para peminjam.

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan, pelanjutan kempen itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif mesra pelanggan bagi membantu serta memudahkan peminjam melaksanakan bayaran balik pinjaman.

Menurut kenyataan itu, kempen berkenaan turut bertujuan memastikan kelestarian pendidikan tinggi negara selain memberi ruang dan peluang kepada peminjam yang mempunyai tunggakan berunding pelan pembayaran fleksibel melalui penstrukturan semula bayaran balik mengikut kemampuan kewangan.

“Dalam tempoh kempen, peminjam yang mempunyai tunggakan boleh membuat bayaran pendahuluan sebanyak 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi dan memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.

“Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, membuat pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman bagi menyusun semula jadual bayaran balik mengikut kemampuan kewangan,” ujarnya.

PTPTN turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada peminjam yang telah menunaikan tanggungjawab membuat bayaran balik pinjaman.

Semua peminjam diseru agar melihat bayaran balik sebagai satu amanah dan tanggungjawab bersama demi kelangsungan pendidikan tinggi negara.

“Setiap ringgit yang dibayar semula membantu memberi peluang kepada
lebih ramai pelajar baharu melanjutkan pengajian.

“Rebutlah peluang sempena Kempen Lestari Pendidikan yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini dengan segera tanpa menunggu pada saat akhir,” jelasnya.

Terdahulu, Kempen Lestari Pendidikan bermula pada 15 Oktober lalu dan sepatutnya berakhir pada hari ini sebelum dilanjutkan sehingga hujung tahun ini.

Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000, menggunakan perkhidmatan Live Chat di portal rasmi PTPTN, E-Aduan PTPTN atau berurusan melalui Eksekutif Jualan PTPTN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN