KLANG – Taktik ‘menyembunyikan’ lima buah kenderaan termasuk Porsche 911 turbo S dalam gudang berlesen selama tiga bulan bagi mengelakkan duti eksais terbongkar apabila diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.
Serbuan dilakukan pada 17 hingga 27 Oktober lalu termasuk di Zon Bebas Cukai dengan nilai keseluruhan kenderaan disita dianggarkan RM475,383.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, siasatan mendapati tiga buah kenderaan berpetrol terpakai itu melebihi tempoh penyimpanan selama tiga bulan yang dibenarkan dalam gudang berlesen.
Katanya, ia termasuklah Toyota Granace, Porsche 911 turbo S dan BMW 420i M Sport Auto dengan jumlah duti cukai gagal dibayar pemilik gudang itu.
“Turut disita dua buah kenderaan elektrik jenama Dongfeng Forthing dipercayai tidak mempunyai permit import walaupun diikrarkan melalui borang zon bebas. Lima kenderaan itu dipercayai dibawa masuk dari Jepun, Eropah dan China,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini hari ini.
Jelasnya, duti bagi lima kenderaan itu adalah sebanyak RM541,246 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) dan (d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE














