KUALA LUMPUR – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz bangga dengan sikap anak buahnya yang mengerah segala kudrat untuk menewaskan Sabah FC 5-0 pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kemenangan kali ini dianggap cukup penting buat Harimau Selatan untuk melengkapkan satu lagi kejuaraan sekali gus mengukuhkan reputasi pasukan sebagai kuasa besar bola sepak Malaysia.
“Terima kasih kepada bos (Tunku Mahkota Ismail) yang sentiasa bercita-cita tinggi dan saya bangga dengan aksi hebat yang ditunjukkan mereka.
“Kami mengawal dan mendominasi keseluruhan permainan. Tahniah kepada pemain atas usaha yang ditunjukkan,” katanya.
Tiga gol JDT dijaringkan pada babak pertama oleh Jonathan Silva, gol sendiri Rawilson Batuil, Jairo da Silva disusuli dua lagi gol di babak kedua daripada Oscar Arribas dan Manuel Hidalgo.
Kejayaan ini adalah trofi kedua JDT musim Ini selepas memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah hasil kemenangan 3-0 ke atas Selangor FC, Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE














