KUALA LUMPUR – Tiada apa yang perlu dikesalkan pengendali Sabah FC, Jean-Paul de Marigny selepas menyaksikan kesungguhan anak buahnya beri cabaran kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Hasrat untuk menamatkan penantian 30 tahun Sabah FC untuk menjulang Piala FA tidak terlaksana apabila tewas 0-5 namun aksi ini turut dibayangi beberapa keputusan pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail yang turut melayangkan kad merah kepada Miguel Cifuentes.
Selain kad merah kepada Cifuentes, Mohamad Kamil juga membuat keputusan membatalkan jaringan penyerang Sabah, Ajdin Mujagic.
Bagaimanapun De Marigny enggan mengulas lebih lebih lanjut mengenai keputusan pengadil membabitkan dua insiden terbabit.
“Saya sebenarnya tidak begitu suka bercakap mengenai pengadil kerana ia tugas yang sukar. Kami menjaringkan satu gol yang sangat cantik dan untuk membatalkannya, bagi saya ia agak menyedihkan.
“Kedua, pemain kami sebenarnya berada di hadapan pemain lawan (insiden kad kuning kedua Cifuentes). Secara peribadi, saya fikir ia sepatutnya kad kuning kepada pemain lawan, tetapi itu bukan keputusannya. Jadi, terpulang kepada sesiapa untuk menilainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














