REMBAU – Seorang pemandu yang dalam perjalanan menghantar atap rumah maut selepas lori yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 1, Jalan Selamak-Inas, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, dalam kejadian pukul 2 petang itu, pemandu berusia 38 tahun dari Bachok, Kelantan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika lori tersebut dalam perjalanan dari arah Jalan Selemak -Inas menghala Rembau untuk menghantar barang.
“Setibanya di tempat kejadian, semasa menuruni bukit, pemandu itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan. Akibatnya, pemandu maut, manakala kelindan berusia 36 tahun tidak cedera.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya hari ini.- KOSMO! ONLINE














