PETALING JAYA – Ramai pasangan suami isteri tidak mengakui tanggungjawab sebagai ibu bapa dalam memberikan nafkah kepada anak selepas bercerai kerana ego.
Menurut hantaran Public Health Malaysia (PHM), ramai pasangan lupa bahawa tanggungjawab sebagai ibu bapa tidak pernah putus terutama dalam bab nafkah anak-anak.
“Putusnya (hubungan) suami isteri, tetapi tanggungjawab sebagai ibu ayah tidak pernah putus. Dalam banyak kes, lelaki selalunya terus kena serang. Bila perempuan bersuara, orang cepat simpati. Bila lelaki menjelaskan, ramai kata ‘banyak alasan’.
“Akhirnya, bapa yang bayar pun boleh tetap dipanggil culas, sebab naratif yang menang ialah persepsi bukan konteks penuh,” katanya.

Menurut PHM, semakin banyak kes isu nafkah digunakan sebagai alat untuk menang persepsi dan bukan untuk keperluan menjaga anak semata-mata.
“Kadangkala, cerita dipotong menjadi satu babak kecil supaya nampak seperti satu kegagalan besar. Lewat bagi duit sehari dua walaupun konsisten, diperbesarkan.
“Bila tekanan emosi jadi senjata, ayat berubah jadi ugutan halus ‘Kalau sayang anak, kena ikut’, ‘kalau tak tambah, awak ayah tak guna’.
Tinjauan Kosmo! mendapati ramai turut bersetuju bahawa nafkah sepatutnya mengikut kemampuan dan keputusan sah.
“Hargailah bekas suami yang tidak culas bagi nafkah selepas berpisah. Itu maksudnya dia faham akan tanggungjawab. Mungkin berpisah sebab takdir tidak menyebelahi,” komen Tengku Mohamad Farid.
“Nafkah itu tanggungan bersama walaupun sudah berpisah. Bekas suami bagi ikut kemampuan yang ditetapkan di mahkamah. Cuma setengah bekas isteri tak cukup dengan apa yang diberikan,” komen Rosma Shafi.
“Ingat bahawa nafkah anak-anak adalah berdasarkan kemampuan bekas suami. Bukan ikut nafsu pihak bekas isteri. Kebiasaannya, anak jadi bahan nafsu bekas isteri,” komen Mohamad Khairul –KOSMO! ONLINE














