fbpx
Muhammad Zulhairi Shunazar (kanan) dituduh memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini.

Koperal tidak mengaku pandu berbahaya, sebabkan kematian penunggang motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan yang menyebabkan kematian seorang pemuda, bulan lalu.

Tertuduh, Koperal Muhammad Zulhairi Shunazar Abdul Shukor, 38, juga dituduh memandu dengan cuai sehingga menyebabkan seorang lagi pemuda mengalami kecederaan parah.

Dia yang bertugas di Balai Polis Kangar meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu pikap dengan cara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan dengan sebuah motosikal yang mana penunggangnya, Muhammad Firdaus Aiman Zainon, 24, disahkan meninggal dunia berhampiran Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini kira-kira pukul 10.20 malam, 25 November lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, tertuduh dituduh memandu kenderaan dengan tidak cermat dan perhatian sepatutnya mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah lagi motosikal, sekali gus mengakibatkan penunggangnya, Aliff Noorhakim Alijesree, 25, mengalami kecederaan parah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor S. Mageswaran, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hasnor Arysha Hamdan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula pada 28 Januari depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI