KUALA LUMPUR – Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN berkaitan situasi semasa ketegangan antara Thailand dan Kemboja yang dijadualkan berlangsung esok, ditangguhkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, ia susulan keadaan semasa yang masih memerlukan penyelarasan dan pemantauan rapi.
“Kami masih menjalankan penyelarasan dan pemantauan selain diminta sedikit penangguhan bagi mesyuarat yang dijadualkan pada hari Selasa (esok). Jadi, kami tangguhkan (mesyuarat) untuk memastikan segala-galanya teratur.
“Namun begitu, kami masih terus merayu agar mereka menghentikan pertempuran kerana situasi berkenaan sangat kritikal. Saya berhubung dengan mereka setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Meraikan Penerbitan Buku ‘The Man Who Could Move Mountains: Reflections On The Social Activism Of S.M Mohamed Idris di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), di sini hari ini.
Anwar dalam masa sama turut mengulas tindakan Tentera Thailand yang mempertimbangkan sekatan eksport bahan api ke Kemboja.
“Kita masih berunding untuk meredakan keadaan,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, Malaysia telah meminta penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar untuk memantau situasi di lapangan.
Misi itu menurutnya, akan turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh kerajaan Amerika Syarikat, bermula pada waktu yang sama.
Anwar berkata, dapatan pemantauan lapangan dan satelit itu akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung Selasa ini (esok). – KOSMO! ONLINE














