PETALING JAYA – Seri Negara yang menjadi lokasi termeterainya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 bakal melalui proses pemuliharaan dan peremajaan yang akan diterajui oleh Khazanah Nasional, sebagai sebahagian daripada program Dana Warisan.
Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan atas kepercayaan yang diberikan untuk memulihara bangunan ikonik yang begitu penting dalam lipatan sejarah negara.
Pihaknya juga amat menghargai sokongan semua rakan pelaksana yang telah bersama-sama membantu menjayakan usaha tersebut.
“Sememangnya, pemuliharaan Seri Negara merupakan suatu amanah besar yang cukup istimewa buat Khazanah.

“Matlamat kami bukan sekadar memulihkan sebuah bangunan, tetapi untuk menghidupkan semula semangat dan kisah yang telah membentuk perjalanan sejarah negara, jadi kami berharap agar Seri Negara akan terus berkembang menjadi ruang yang inklusif, mencetus inspirasi dan sebuah tempat di mana rakyat Malaysia serta para pelancong dapat menghargai sejarah dan warisan negara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kerja pemulihan Seri Negara yang dilaksanakan dalam tempoh masa 10 bulan itu akan mengekalkan ciri-ciri asal seni bina bangunan tersebut, di samping meningkatkan aspek keselamatan, kebolehcapaian dan kemudahan awam bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat berkunjung, menghayati semula warisan negara.
Seri Negara akan menempatkan Galeri Seri Negara yang meraikan perjalanan negara menuju kemerdekaan dan bertujuan mendidik orang ramai mengenai tempoh bermakna dalam sejarah.
Turut disediakan ialah sebuah kafe dan restoran dikendalikan oleh Serai Group, menawarkan pengalaman menjamu selera yang bernostalgia, mencerminkan keindahan warisan Seri Negara di samping meraikan kepelbagaian hidangan terbaik.
Semuka Cafe kini dibuka kepada orang awam, manakala Serai House akan dibuka secara tempahan sahaja.
Di bawah inisiatif nasional Warisan KL, Khazanah telah diamanahkan untuk memelihara dan memperbaharui lapan bangunan bersejarah Malaysia yang penting iaitu Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa.
Ia turut melilbatkan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) yang merangkumi Bangunan Sultan Abdul Samad, Pejabat Pos Lama, bekas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Panggung Bandaraya, bekas Pejabat Ukur FMS dan Muzium Tekstil Negara.
Selain itu, sebuah jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Seri Negara dan Carcosa ke Taman Botani Perdana Kuala Lumpur juga akan dibina.
Sehubungan itu, Khazanah telah memperuntukkan RM600 juta bagi melaksanakan inisiatif tersebut.
Amirul Feisal menjelaskan, pelaburan ini sejajar dengan strategi domestik Khazanah yang bertujuan memperkukuh ketersambungan dan memperkukuh kedudukan KL sebagai hab ekonomi dan budaya yang dinamik dan rancak bagi menjana nilai jangka panjang, memperkasa jati diri nasional serta merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan, rekreasi, dan industri kreatif tempatan.
“Seri Negara hanya titik permulaan, kami akan terus bekerjasama bersama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan rakan strategik untuk menghidupkan semula bangunan-bangunan yang telah dipulihara ini sebagai ruang budaya awam, perantaraan pendidikan, dan simbol kebangsaan untuk generasi akan datang,” katanya.
Warisan KL adalah inisiatif pemulihan bandar berteraskan warisan dan budaya di peringkat nasional yang bertujuan menghidupkan kembali jiwa Kuala Lumpur melalui pemuliharaan dan pembayangan semula warisan binaan kota ini.
Dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Ser Anwar Ibrahim menghimpunkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), rakan sektor swasta serta komuniti bagi memposisikan Kuala Lumpur sebagai hab warisan, budaya, dan kreativiti yang dinamik. -KOSMO! ONLINE














