PETALING JAYA – Isu pusat beli-belah yang membenarkan kemasukan haiwan peliharaan mencetuskan perbincangan hangat khususnya apabila melibatkan ruang awam.
Perdebatan tersebut timbul susulan perbezaan pandangan antara konsep ‘pet-friendly’ sebagai perkara normal atau tidak yang melibatkan sensitiviti agama, kebersihan serta keselamatan awam.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati sebahagian pengguna berpandangan bahawa pelaksanaan konsep tersebut perlu disertai dengan garis panduan yang jelas dan konsisten, bukan sekadar memberi kebenaran tanpa kawalan.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), dari sudut kesihatan awam, kawalan yang tersusun amat penting bagi memastikan semua pengunjung berasa selamat dan dihormati ketika berada di ruang awam.
“Zon yang jelas, laluan yang tidak menganggu orang lain, kawasan larangan seperti ‘food court’ dan tempat sempit, kebersihan yang ketat dan tindakan cepat jika berlaku insiden.
“Untuk pemilik haiwan, kuncinya adab. Jangan bawa masuk ke kawasan ramai dan sempit, jangan bagi haiwan mendekati orang tanpa izin, pastikan ‘leash’ sentiasa ada serta bersihkan segera jika ada kawasan yang tercemar,” jelas PHM dalam perkongsian Facebook.
PHM turut menegaskan bahawa individu yang berasa tidak selesa juga mempunyai hak untuk bersuara dan membuat pilihan.
“Bagi mereka yang tidak selesa, anda pun ada hak untuk memilih. Boleh suarakan dengan tertib dan boleh pilih pusat beli-belah yang lebih sesuai,” katanya.
Tambahnya, perbezaan pendapat dalam isu berkenaan tidak seharusnya mencetuskan penghinaan atau perbalahan, sebaliknya memerlukan sikap saling menghormati dalam penggunaan ruang awam. – KOSMO! ONLINE














