IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kereta yang dipandu datuknya terbabas sebelum terbalik di Jalan Baginda, Manjoi di sini malam tadi.
Nahas pada pukul 8.40 malam itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback, Jamil Sumawan, 69, dan cucunya Az Dian Raisya Qistina Mohamad Hafisrudin, 4, cedera.
Az Dian Raisya bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 10.05 malam ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan datuknya dalam perjalanan dari Meru untuk pulang ke rumah.
“Kemalangan itu turut menyebabkan kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan cermin besar depan pecah manakala bahagian sisi kiri kereta kemek dan calar. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE














