JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengisytiharkan 15 Disember 2025 sebagai Hari Cuti Peristiwa sempena kejayaan gemilang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA 2025 selepas membelasah Sabah FC 5-0 pada perlawanan akhir.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengisytiharan itu dibuat menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian luar biasa pasukan kebanggaan Bangsa Johor itu.
Bagaimanapun, menurutnya, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan pada tarikh berkenaan akan diteruskan seperti biasa, bagi memastikan persiapan calon serta kelancaran tugasan semua petugas peperiksaan tidak terjejas.
“Kerajaan negeri turut merakamkan setinggi-tinggi kasih dan penghargaan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail atas kepimpinan, iltizam dan usaha berterusan dalam memartabatkan bola sepak Johor sehingga JDT terus mencipta kejayaan di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Kejayaan menjuarai Piala FA 2025 ini sekali lagi membuktikan keunggulan serta konsistensi JDT sebagai kuasa besar bola sepak tanah air, hasil komitmen tinggi barisan pemain, pasukan kejurulatihan dan pengurusan,”katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Onn Hafiz berkata, prestasi cemerlang dipamerkan pada aksi final tersebut jelas menggambarkan tahap profesionalisme tinggi pasukan yang sentiasa mengekalkan standard kecemerlangan dalam setiap kejohanan disertai.
Untuk rekod, pasukan Harimau Selatan yang juga juara bertahan merangkul Piala FA empat kali berturut-turut sejak 2022.-KOSMO! ONLINE














