KUALA LUMPUR – Akuatik Malaysia (MAS) mengumumkan persaraan rasmi perenang negara, Phee Jinq En sekali gus menutup tirai karier cemerlangnya yang menjangkau lebih sedekad mewakili Malaysia di pentas renang antarabangsa.
Sukan SEA Bangkok 2025 menjadi pentas antarabangsa terakhir buat Jinq En apabila sekali lagi menghadiahkan pencapaian podium dengan memenangi pingat perak acara 100 meter (m) kuak dada wanita dan gangsa dalam acara 50m kuak dada.
Aksi terakhirnya bersama kontinjen negara akan berlangsung menerusi acara 4x100m wanita, yang menjadi penutup perjalanan panjang beliau dalam warna kebangsaan.
Sepanjang kariernya dari 2015 hingga 2025, Jinq En muncul antara perenang paling konsisten negara apabila mengumpul keseluruhan 10 pingat Sukan SEA merangkumi empat emas, tiga perak dan tiga gangsa.
Di peringkat global, Jinq En turut mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020, selain beraksi di Sukan Asia, Sukan Komanwel, Kejohanan Dunia Akuatik serta pelbagai kejohanan antarabangsa utama lain.
Pada peringkat kebangsaan, beliau masih memegang rekod kebangsaan acara 50m dan 100m kuak dada wanita, sekali gus menjadi penanda aras penting kepada pembangunan generasi perenang seterusnya.
Lebih daripada sekadar pencapaian, Jinq En dikenali sebagai atlet berdisiplin tinggi yang mempamerkan profesionalisme, ketahanan mental serta komitmen luar biasa dalam mengangkat standard renang negara. KOSMO! ONLINE














