HONG KONG – Taikun media pro-demokrasi Hong Kong, Jimmy Lai hari ini didapati bersalah atas dua pertuduhan mengadakan pakatan sulit dengan pihak asing dan melakukan penerbitan menghasut dalam perbicaraan keselamatan negara berprofil paling tinggi di bandar raya China itu.
Pengasas akhbar Apple Daily yang kini ditutup itu dipenjarakan sejak 2020. Kesnya dikritik secara meluas sebagai contoh kebebasan politik yang semakin terhakis di bawah undang-undang keselamatan negara yang dikuatkuasakan Beijing ke atas Hong Kong berikutan protes pro-demokrasi besar-besaran dan kadang kala ganas pada 2019.
Pendakwa raya berkata Lai, 78, adalah dalang di sebalik dua konspirasi untuk meminta negara-negara asing mengenakan ‘sekatan’ atau melakukan ‘aktiviti permusuhan’ terhadap Hong Kong atau China.
Beliau juga dituduh menerbitkan bahan yang mereka katakan ‘membangkitkan rasa tidak puas hati’ terhadap pemerintah.
“Tidak syak lagi (Lai) menyimpan rasa benci dan kebenciannya terhadap PRC adalah sepanjang kebanyakan tahun dewasanya, dan ini jelas tertera dalam artikel-artikelnya,” kata Hakim Esther Toh kepada mahkamah, menggunakan akronim Republik Rakyat China.
“Juga jelas kepada kami bahawa defendan sejak peringkat awal, jauh sebelum Undang-undang Keselamatan Negara dikuatkuasakan, telah memikirkan tentang ‘leverage’ yang boleh digunakan oleh Amerika Syarikat terhadap PRC,” tambahnya.
Lai yang memakai kardigan hijau muda dan jaket kelabu, tidak menunjukkan sebarang emosi ketika hakim membaca keputusan tersebut.
Dia berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup, manakala hukuman akan dibacakan pada tarikh yang akan datang. Lai boleh merayu keputusan tersebut. – AFP














