fbpx
Mohd. Khalid.

Inisiatif ‘deemed licence’ perkukuh keselamatan digital negara – PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong inisiatif ‘deemed licence’ (Peruntukan Deeming) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sebagai langkah awal memperkukuh tadbir urus platform digital dan meningkatkan keselamatan dalam talian negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, ekosistem digital masa kini menuntut pendekatan pengawalseliaan yang lebih responsif terhadap ancaman.

Menurutnya, ia termasuk jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyebaran kandungan ekstremisme, serta penyalahgunaan platform digital untuk aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen bersama untuk melindungi anak bangsa Malaysia dan memastikan mereka selamat dalam persekitaran siber masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Khalid berkata, PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC dan agensi lain melalui pendekatan ‘whole of government’.

Katanya, ia bagi memastikan mekanisme baharu yang sedang dimuktamadkan dapat meningkatkan keberkesanan siasatan, memperkukuh perkongsian maklumat, serta mempercepatkan tindakan terhadap kandungan atau aktiviti berbahaya di ruang digital.

Justeru, beliau berkata, PDRM kekal komited melaksanakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang semasa dan meningkatkan kesiapsiagaan dalaman bagi memastikan kerangka keselamatan digital yang bakal diperkenalkan dapat disokong dengan berkesan.

“PDRM yakin bahawa pelaksanaan rangka kerja baharu ini akan meningkatkan perlindungan kepada rakyat, memantapkan integriti ruang digital negara, dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan serta penyedia platform digital.

“Langkah ini turut menjadi asas penting dalam memastikan keselamatan generasi masa hadapan terutama kanak-kanak dan keluarga terjamin dalam landskap siber yang semakin mencabar,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan semha penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Januari 2026.

Pelaksanaan perkara itu dibuat melalui Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MCMC dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI