SINGAPURA – Seorang wanita yang sedang leka menjamu selera di sebuah restoran di Yishun, Singapura terkejut apabila tergigit mata kail ikan sepanjang 2.5 sentimeter, lapor portal berita MSNews hari ini.
Dia tergigit mata kail yang tersembunyi di dalam ikan goreng yang dipesannya, menyebabkan kesakitan dan bengkak, baru-baru ini.
Menurut portal berita Shin Min Daily News, wanita tersebut sedang makan malam bersama rakan sekerjanya apabila dia tiba-tiba merasakan tusukan tajam di dalam mulut ketika gigitan pertama.
Pada mulanya, wanita itu menyangka tergigit tulang ikan yang keras, sehingga dia mengeluarkan objek tersebut dan menyedari ia sebenarnya adalah mata kail daripada logam.
“Jika tertelan, ia boleh menyebabkan kecederaan serius atau malah kematian,” tambahnya.
Mereka segera memaklumkan kejadian itu kepada kakitangan restoran selepas merakamkan gambar sebagai bukti.
Pekerja restoran kemudian memohon maaf dan menawarkan untuk menggantikan hidangan tersebut, namun mereka menolak kerana insiden itu telah menjejaskan selera masing-masing. – AGENSI














