PETALING JAYA – Seorang lelaki meluahkan rasa kecewa selepas menjumpai minuman beralkohol di dalam bilik rakan serumah yang telah dihalau kerana pengotor dan pemalas.
Menerusi hantaran pengguna Threads, rakan serumah itu dihalau dengan cara baik selepas kecewa dengan sikap yang tidak bertanggungjawab.
“Dekat kad pengenalan, tulis Melayu dan Islam tapi dalam bilik ada alkohol. Sebab kami tak pernah masuk bilik satu sama lain, jadi dia ingat boleh buat ikut suka. Cuma rajin buat sepah, selepas itu, kami yang kena mengemas,” katanya.
Difahamkan, lelaki tersebut pernah membantu rakan serumah itu untuk membayar duit deposit sebelum menyewa di rumah berkenaan.
Menjengah ke ruang komen, ramai turut berkongsi pengalaman yang sama dengan penyewa yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga keadaan bilik dan rumah.
“Saya pun pernah tolong seorang adik ini selepas dihalau dengan rakan serumahnya.Rupanya, jenis buang sampah semua dalam bilik sampai ada ulat sampah penuh dalam bilik,” komen @Ell.elaira.
“Pernah duduk serumah dengan orang seperti ini. Bilik penuh dengan longgokan baju, lipas pun banyak. Tak faham macam mana dia boleh hidup dengan keadaan bilik berbau busuk,” komen @Noorwahida.abdullatif
“Saya pernah tolong kawan nak menyewa bilik tidak terpakai di rumah saya sendiri. Dia suruh saya parkir kereta di luar rumah sebab hanya pakai kereta lama, sedangkan saya tuan rumah dengan alasan, dia pakai kereta baru,” komen @Anis.eisya. – KOSMO! ONLINE














