PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan hujan lebat serta angin kencang di beberapa negeri di Semenanjung dan Sabah sehingga pukul 1 tengah hari ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan MetMalaysia, antara kawasan berisiko adalah Kedah meliputi Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu serta keseluruhan Pulau Pinang.
“Selain itu, di Perak melibatkan Seberang Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim, manakala di Pahang, daerah terkesan ialah Raub dan Bentong,” lapor MetMalaysia.
MetMalaysia menambah, hujan turut diramal di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala di Negeri Sembilan tertumpu sekitar Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Jempol serta Tampin bagi tempoh sama.
Cuaca buruk itu juga dijangka berlaku di Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat. – KOSMO! ONLINE














