KOTA BHARU – Pesara guru yang menghidap penyakit sendi lutut sejak lapan tahun lalu menjadi individu pertama yang menjalani pembedahan menggunakan teknologi robotik di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.
Mohd. Jilani Jaffar, 63, dari Kota Bharu, bersetuju menjalani pembedahan kedua-dua lutut secara serentak dengan teknologi itu selepas menjalani rawatan selama dua bulan di hospital berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, pesara terbabit akan menjalani pembedahan penggantian sendi lutut selama dua jam dengan menggunakan teknologi robotik dalam satu sesi yang dilakukan secara serentak.
Mohd. Azman memberitahu, peralihan kepada teknologi pembedahan robotik dijangka memberi kelebihan kepada pesakit termasuk ketepatan pembedahan yang lebih tinggi, pengurangan kesakitan selepas pembedahan dan tempoh pemulihan yang lebih singkat,
“Kos pembedahan penggantian lutut secara robotik di hospital kerajaan hanya membabitkan bayaran bagi komponen implan berharga RM7,500 yang perlu ditanggung pesakit.
“Golongan B40 boleh memohon batuan dari Tabung Bantuan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia tertakluk kepada kelayakan dengan kos pembedahan keseluruhan maksimum RM30,000 ditanggung sepenuhnya,” katanya pada sidang media Pembedahan Menggunakan Teknologi Robotik yang diketuai oleh Pakar Perunding Kanan Otopedik HRPZ II, Dr. Mohd. Yusof Ibrahim di HRPZ II di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














